Followers

Thursday 19 December 2013

CINTA KATAKAN SAJA 1



PART 1


Kesan lebam di badan Nisa terasa amat menyakitkan. Dia masih lemah. Kulit kepalanya juga masih sakit. Bagai disiat-siat. Bibir bengkak. Bahu sebelah kanan terasa berat. Tak boleh diangkat. Terseliuh ke? Sesekali dia mengerang kesakitan bila cuba untuk berpusing. Seluruh badan terasa lenguh.

Matanya dibesarkan sedikit demi sedikit untuk memerhatikan sekeliling bilik itu. Penglihatan masih kabur. Langsir yang cantik itu bukan seperti langsir di biliknya yang sudah usang. Katil dan cadar itu juga bukan miliknya. Mewah. Dia hanya miliki katil besi biasa saja. Diamati pula selimut yang membaluti tubuh ke paras pinggang. Bukan juga.

Kat mana aku ni? Apa dah jadi?

Matanya merenung kembali ke siling. Cuba mengingati semula apa yang berlaku. Satu persatu kisah bermain di matanya. Macam slaid drama paling hebat. Mukanya terasa panas semula. Airmata mengalir perlahan-lahan. Hiba sungguh rasa hati nan lara ini.

"Kau memang sengaja menconteng arang ke muka kami ya, Nisa! Aku bela dari kecik sampai sekarang, bagi kau makan pakai, pelajaran, macam ni kau balas pada kami!"

"Kalau aku tahu macam inilah jadinya, aku tak ingin nak bela kau, tau tak?" Jeritan Pak Long Hashim bergema di segenap ruang rumah.

Ditolaknya badan Nisa ke dinding. Kepalanya ditunjal-tunjal. Sebelah tangannya dipulas ke belakang.

"Pak Long! Tolonggg...sakitt tangan Nisa!! Biar Nisa jelaskan apa sebenarnya berlaku. Nisa tak salah Pak Long..."

"Oh, tahu pulak kau rasa sakit macam mana ya. Hati aku yang sakit, muka aku yang malu kat semua orang kampung ni, kau tak ambil kira! Apa kau ingat aku tak boleh ajar kau macam ni?"

Nisa menjerit bila tangannya diheret kasar ke tengah rumah. Pak Long Hashim tak mendengar lagi kata-katanya. Mereka yang lain di dalam rumah itu hanya memandang saja tanpa kata. Seolah-olah mengiyakan hukuman yang diberikan. Mak Long Siah langsung tak pandang wajah Nisa.

Abang Khairil pun diamkan diri juga. Hampa lagi. Hanya Mira, anak Abang Khairil yang berusia lima tahun memandangnya penuh simpati. Si kecil itu cuba menghampirinya tapi ditahan oleh Mak Long Siah.

Ya Allah, bagilah aku peluang untuk jelaskan perkara sebenarnya. Kenapa semua orang tak mahu dengar cakap aku? Rintihnya dalam sedu sedan.

"Pak Long, Mak...Nisa tak salah. Nisa dianiaya. Anak Pak Imam, Si Malik tu yang rancang semua ni. Nisa tak sedar apa yang berlaku.."

"Tolonglah percayakan Nisa. Nisa tak akan sesekali menconteng arang ke muka Pak Long sekeluarga."

"Macam mana kami nak percayakan kamu lagi Nisa,"Mak Long Siah pula bersuara.

 "Semua dah terbentang depan mata kami ni. Kami malu Nisa. Malu pada semua orang. Dari dulu sampai sekarang kami kena pertahankan kamu, tapi..." Mak Long Siah mengesat airmatanya lagi dengan hujung baju yang dipakai.

"Tapi...sampai hati kamu buat macam ni Nisa.." 

Luluh hati Nisa. Dia tak sanggup melihat walau setitis pun airmata gugur dari kelopak mata Mak Long Siah yang sudah dianggap seperti ibu kandung sendiri. Nisa sedar jasa dan pengorbanan keluarga itu terlalu besar. Ibu bapanya sendiri entah ke mana.

"Makk!!"

Nisa meluru ke arah perempuan tua itu tapi Mak Long Siah berpaling sebelum sempat Nisa memeluknya. Namun dia cuba juga meraih tangan Mak Long Siah.

"Mak jangan cakap macam tu. Nisa sedar siapa Nisa. Tanpa  Pak Long dan Mak siapalah Nisa ni. Nisa tak pernah kenal ibu bapa Nisa. Nisa kenal Pak Long dan Mak je dari kecil..tolonglah..percayakan Nisa.."

Pak Long Hashim yang melihat bertambah berang. Kata-kata Nisa langsung tak memberi kesan padanya. Yang ada cuma kebencian.

"Aku tak percaya!!! Aku tak percaya cakap kau ni!" Jerit Pak Long Hashim sambil memegang kepala Nisa. Matanya membuntang marah. Badan Nisa menggeletar. Gerun melihat muka bengis Pak Long Hashim.

"Kalau kau anggap kami ni macam mak bapak kau, kau tak buat macam ni! Kau memang dasar anak tak kenang budiii!!" 

Panggg!!!

Satu tamparan kuat mengenai pipi mulus Nisa. Badannya terdorong ke belakang. Melekap lima jari kasar Pak Long Hashim di pipinya. Merah. Perit. Kebas. Mana mungkin dia mampu melawan tenaga seorang lelaki berbadan tegap macam Pak Long Hashim. Dia yang hanya seberat 45kg tu senang saja dihumban terus ke tanah. Nisa meraba pipinya yang keperitan. Terasa darah pekat mengalir di celah bibirnya.

Mak Long Siah dan Abang Khairil turut kelihatan terperanjat.

"Pak Long..Mak, tolonglah..Nisa tak buat semua tu. Nisa diperangkap..NIsa..Nisa..takk.." terketar-ketar dia merayu dan memohon simpati Pak Long Hashim.

"Ya Allah!!"

Belum sempat ayatnya habis, pipi sebelah lagi terpaksa menerima habuan tangan kasar Pak Long Hashim. Berpinar matanya. Kepala terasa berpusing-pusing.

"Aku dah tak kuasa nak dengar apa-apa pun dari mulut kau! Nih, gambar ni pun dah ceritakan A sampai Z. Kau memang anak celaka!!!"

Serentak beberapa keping gambar dicampak di hadapan muka Nisa dan bertaburan ke lantai rumah. Nisa terkejut melihat gambar-gambar itu satu persatu.

Apa ni? Siapa lelaki ni? Macam mana aku boleh bergambar dengan dia?

Mata Mak Long Siah dan Abang Khairil turut menonton gambar yang sama. Gambar dia dalam pelukan seorang lelaki dalam keadaan penuh ghairah. Amat memalukan. Maruahnya terasa dibuang ke longkang, dipijak-pijak oleh mata yang melihat. Airmatanya mengalir deras. Kepalanya mengeleng-ngeleng tidak percaya. Mata dipejam. Mencari kekuatan.

Ya Allah, dugaan apakah ini..

"Dulu ibu kau yang buat hal, sampai beranakkan kau ni ha! Sekarang kau nak ikut jejak langkah dia ya. Kalau bukan Mak Long kau ni yang kesiankan korang, tak ingin aku nak bela anak haram macam kau ni, tau tak?"

"Dah ibu pun menyundal, samalah jugak anaknya. Memang keturunan sial! Sia-sia saja aku bela, bagi makan pakai, pelajaran semua! Bila besar kau malukan aku sampai macam ni. Aku tak boleh terima kau lagi, anak jahanam! Kau pergiiii!!!"

Pak Long Hashim mengamuk sakan. Tak habis-habis dia menyumpah seranah pada Nisa.

"Ayah, cukuplah tu! Mungkin Nisa tak salah. Cuba kita dengar dulu cerita dia.."

Abang Khairil mencelah tiba-tiba. Ayahnya sudah melampau. Tak sanggup dia tengok Nisa macam tu lagi.

Pak Long Hashim mencerlung tajam pada anaknya.

"Kau jangan nak ajar aku pulak, Ril!"

Rasa sedih bertambah pedih dan pilu dengan kata-kata Pak Long Hashim.
Sial.
Anak haram.
Celaka.
Terasa hina benar di mata mereka. Badannya terhinjut-hinjut menahan esakan. Selama ni dia dikeji diumpat sekalipun, dia mampu bertahan. Kali ni, terasa dia keseorangan. Tiada siapa pun peduli.

Salah ke aku anak haram?
Aku ke yang berdosa kerana lahir ke dunia ni?
Salah jugak ke aku nak menumpang kasih?



"Pak Long...ma..af..maafkan Nisa Pak Long..." hanya itu yang terluah.

Namun kata-kata Nisa buat hati Pak Long Hashim makin panas. Menjawab je budak ni!

"Maaf? Senang kau cakap, kan!" Kepala Nisa ditunjal lagi.

"Kau memang tak tahu malu, kan. Sanggup kau jaja badan kau ni semata-mata sebab nak duit! Aku tak sangka. aku dah didik kau sebaik mungkin tapi kau balas racun pada kami, Nisa! Aku malu. Mana aku nak letak muka niii..Aku maluuu, tau tak??" Sergah Pak Long Hashim lagi.

Nisa hanya tunduk. Baik diam. Lagi dia jawab lagi marah Pak Long Hashim padanya.

"Eh, kau nak sangat orang tengok badan kau ni, kan. Hah, buka..buka baju kau tu sekarang, pergi jaja kat semua orang!"

Baju Nisa ditarik dan terus dikoyakkan oleh Pak Long Hashim sehingga terdedah bahagian atas dada dan bahunya.

"Tolonglah Pak Long..jangan buat Nisa macam ni. Nisa rayu kat Pak Long..tolonglah..Nisa tak salah..Nisa dianiaya..itu semua fitnah, Pak Long.."

"Berapa kali Nisa nak..cak..aap..." tersekat-sekat suara Nisa.

Mulutnya rasa membengkak. Kepala berdenyut-denyut. Bintang-bintang mula bertebaran di ruangan mata. Dipejamkan seketika. Tarik nafas perlahan-lahan. Bahunya rasa macam nak tercabut. Dalam kepayahan dia menarik semula baju yang sudah terkoyak dan cuba menutup sebahagian badannya yang terdedah.

Dengan kekuatan yang masih bersisa, terketar-ketar Nisa merapatkan diri kepada Pak Long Hashim. Sujud pun dia sanggup. Dia cuba memeluk kaki Pak Long Hashim tapi disepak ketepi.

"Pak Long, Mak, Abang Ril..." nafasnya tersekat. Sebak.

"Kalau kewujudan Nisa bawak sila, bawak malang pada keluarga ni, Nisa mohon ampun..dari hujung rambut sampai hujung kaki. Macam mana celakanya ibu Nisa, dia tetap orang yang lahirkan Nisa ke dunia.."

"Tapi Mak, Pak Long dan Abang Ril.."
"Adalah family Nisa yang Nisa sayang sampai bila-bila. Jadi, tak mungkin Nisa akan buat perkara terkutuk tu dalam hayat ni."

Mak Long Siah tak dapat menahan sebak lagi mula teresak-esak. Hatinya mula berkata Nisa tak salah. Di pandang wajah suaminya yang masih berang ditengah rumah. Berdoa supaya Allah lembutkan hati suaminya.

Kata-kata Nisa umpama mencurah minyak ke dalam api. Entah kenapa setiap butir bicara keluar dari mulut Nisa menambahkan lagi rasa sakit hati Pak Long Hashim. 
Kau masih nak tegakkan benang yang basah! Sakit betul hati aku ni! 

Tak semena-mena rambut Nisa ditarik kasar sekali lagi. Badannya terdorong ke depan. Kepalanya dihantuk ke tiang seri beberapa kali. Nisa menahan kesakitan. Tak mampu nak melawan lagi. 

Mak Long Siah tak sanggup nak tengok kekasaran suaminya lagi. Dia menjerit cuba untuk halang perbuatan suaminya yang sudah melampau tapi tak diendahkan langsung.  Rasukan syaitan sudah bermaharajalela.

Badan Nisa diheret sehingga ke tangga rumah. Matanya semakin kabur. Rasa sesak nafasnya. Entah apa lagi hukuman yang akan Pak Long Hashim kenakan. Dia redha. Kebencian yang terpendam selama 20 tahun diluah dan dilepaskan semuanya pada hari itu.

"Abang! Jangan tarik Nisa macam tu lagi, bang! Kenapa dengan abang ni, ha?" terdengar laungan Mak Long Siah.

Dunia Nisa terus kelam.

"Kau jangan halang aku Siah! Aku nak buang anak jahanam ni dari hidup kita!"

"Abang! Cuba tengok Nisa tu bang! Tolong abang, hentikan semua ni! Bukan macam ni caranya nak ajar anak!" Mak Long Siah meluru ke depan suaminya dan cuba menghalang tapi dia ditolak kasar hingga terjatuh.

"Istighfar abang..Istighfar! Abang Hashimm..mati budak tu kang!!!" 

Langkah Pak Long Hashim terhenti. 
Mati? 

Rambut panjang Nisa dilepaskan. Meleret Nisa ke lantai tak sedarkan diri lagi. Pak Long Hashim menoleh ke arah Nisa yang sudah kaku di kakinya. Bagaikan tersedar dari rasukan syaitan, dia meraup wajahnya berkali-kali. Muka Pak Long Hashim berubah.

"Nisa! Nisa! Bangun nak. Abang, Ril..cepat la tengok Nisa ni!" 

Mak Long Siah sudah terjelepuk di sisi Nisa sambil memeluk tubuh yang sudah terkulai itu.

"Ril??"

"Ril rasa dia pengsan, mak,"pendek jawapannya. Hatinya turut gusar.

Wajah Mak Long Siah penuh kerisauan. Airmatanya tak mampu diseka lagi. Menyesal dia membiarkan suaminya terus menerus dihasut syaitan. Menyesal kerana hanya melihat tubuh kecil itu dihukum oleh suaminya.

Mereka sepatutnya mendengar penjelasan Nisa bukan terus memberi hukuman. Nisa tak salah. Dia yakin Nisa tak salah. Kenapalah diikutkan sangat rasa hati. Nak marah tanpa usul periksa. Kesian budak tu. Hatinya dipagut rasa kesal menggunung.

"Cepat Ril, kita bawak Nisa ke hospital, mak risau la,"Nisa dipeluk erat.

"Nisa, bangun Nisa.. jangan tinggalkan mak, nak. Mak percaya Nisa! Mak percaya Nisa tak buat semua tu!"

"Maafkan mak tak dengar cakap Nisa..maafkan mak Nisaaaa...mak sayang Nisaaa!!" Mak Long Siah meraung-raung. Dicium pipi Nisa berkali-kali.

"Astaghfirullah....Astaghfirullahaladzimmmm.."

Apa aku dah buat ni? Nisa? Pak Long Hashim pula tiba-tiba cemas.

"Semua salah abang, tau tak? Salah abang! Kalau jadi apa-apa kat Nisa, saya tak kan maafkan abang sampai bila-bila."

"Ril, cepat! Kita ke hospital sekarang!"

Pak Long Hashim terduduk. Mukanya diraup berkali-kali.


~to be continued~

My Lovely readers,

Hopefully Part 1 tidak menghampakan uols ya..wait for the next part ok. 
Enjoy reading peeps! :))

As for a start, bagi Arissa..moral is kita janganlah terlalu cepat memberikan hukuman tanpa usul periksa, melihat dan mendengar sebelah pihak saja, kan. Ada firman yang Arissa dapat sharekan kat sini untuk renungan kita bersama.

Firman Allah SWT :

"Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga kamu menyesali apa yang kamu lakukan. 
(Al-Hujuraat :6)

Wallahualam..

Love,
 




No comments:

Post a Comment

Like it? Want more?
Your Motivation and Support are very much appreciated. Thank you for reading, peeps! :)